India waspada ancaman Korea

India waspada ancaman Korea

Walaupun dilabel sebagai pilihan namun India tetap berwaspada dengan ancaman Korea Selatan apabila kedua-dua pasukan itu membuat perhitungan pada aksi final Piala Sultan Azlan Shah, esok.

Pengurus India, Chris Ciriello menyifatkan lawan mereka itu sebagai pasukan yang berpengalaman dan bijak dalam merencanakan corak permainan.

“Korea sebuah pasukan yang kuat, mereka berpengalaman dan bijak. Sejak jurulatih mereka (Shin Seok Kyo) kembali melatih pasukan itu, kita dapat lihat peningkatan yang ditunjukkan pasukan itu.

“Kami menjangkakan perlawanan yang sukar esok kerana kedua-dua pasukan ada kekuatan seimbang. Kami tidak boleh membuat banyak kesilapan dan memberi Korea mencipta peluang,” katanya.

Pada aksi pusingan awal, India dan Korea terikat 1-1.

Sementara itu, kapten India, Mandeep Singh yang kini mendahului carta penjaring terbanyak dengan tujuh gol berkata dia dan rakan sepasukan perlu bermain mengikut perancangan yang diatur.

“Kami perlu bermain mengikut perancangan, kami perlu memanfaatkan semua peluang yang ada untuk menjaringkan gol. Dalam masa sama jangan beri peluang kepada Korea,” katanya.

Terdahulu, India melaungkan amaran awal kepada Korea menjelang aksi final esok apabila membelasah Poland 10-0 dalam aksi terakhir pusingan awal di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Ia adalah jaringan terbesar yang dihasilkan sepanjang kejohanan edisi ke-28 kali ini.

Gol-gol India dijaringkan oleh Vivek Prasad seawal minit pertama, Sumit Kumar (7), Varun Kumar (18,25), Surender Kumar (19), Simranjeet Singh (29), Nilakanta Sharma (36), Mandeep (50,51) dan Amit Rohidas (55).

Poland yang tewas semua lima perlawanan pusingan awal terpaksa berpuas hati dengan beraksi pada penentuan tempat kelima dan keenam, esok.

Jurulatih Poland, Karol Sniezek mahu anak buahnya bangkit dan mencipta kemenangan dalam perlawanan esok.

“Secara keseluruhan, kami bermain dengan baik dalam kejohanan ini cuma hari ini kami tidak dapat menyaingi kepantasan India. Kami kalah dari aspek fizikal.

“Saya harap pemain bangkit dan sekurang-kurangnya kami boleh mencatat satu kemenangan dalam kejohanan ini,” katanya.