Jepun bangkit, akhiri saingan di kedudukan kelima

Jepun bangkit, akhiri saingan di kedudukan kelima

Jepun kembali bangkit selepas ketinggalan satu gol untuk menamatkan saingan di tempat kelima saingan Piala Sultan Azlan Shah, hari ini.

Pemenang pingat emas Sukan Asia 2018 itu menepati ramalan apabila melakar kemenangan 6-1 ke atas Poland dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam di Stadium Hoki Azlan Shah.

Bagaimanapun, skuad bimbingan Seigfried Aikman terlebih dahulu dikejutkan dengan gol pendahuluan pasukan lawan menerusi Mikolaj Gumny minit ke-31.

Anak buah Aikman bagaimanapun kembali mempamerkan watak sebenar mereka dan akhirnya berjaya meledak enam gol dalam tempoh 15 minit terakhir perlawanan.

“Realitinya kami hanya berjaya menjaringkan gol selepas 45 minit perlawanan namun saya tetap gembira dengan semangat juang ditunjukkan pemain yang tidak mudah mengalah.

“Saya juga gembira melihat peningkatan ditunjukkan pemain sepanjang kejohanan. Prestasi mereka meningkat dalam setiap perlawanan, ada peningkatan dari aspek kepantasan dan kemahiran individu,” kata Aikman.

Dalam perlawanan itu, gol Jepun disumbangkan Kentaro Fukuda (46,54) Ryosei Kato (49), Hirotaka Wakuri (51,57) dan Suguru Hoshi (58).

Kekalahan menyaksikan Poland yang kali pertama beraksi dalam kejohanan ini pulang dengan tangan kosong apabila gagal mencatat sebarang kemenangan termasuk ketika saingan pusingan awal.

Jurulatih Poland, Karol Sniezek bagaimanapun menyifatkan anak buahnya menunjukkan banyak peningkatan sepanjang kejohanan kali ini.

“Untuk perlawanan hari ini Kami bermain dengan baik dalam tiga suku pertama tetapi segala-galanya berubah di suku keempat yang mana pemain hilang fokus dan lemah dari aspek fizikal serta mental.

“Namun, secara keseluruhannya kami banyak belajar sepanjang kejohanan ini. Pemain menunjukkan peningakatan dalam setiap perlawanan,” katanya