Korea ada ‘ramuan’ tumbangkan India

Korea ada ‘ramuan’ tumbangkan India

Jurulatih Korea Selatan, Shin Seok Kyo ada ‘ramuan’ tersendiri untuk menghadapi India dalam aksi final Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah, esok.

Seok Kyo yang kembali membimbing skuad hoki Korea sejak empat bulan lalu selepas bersara pada 2015 berkata kemenangan ke atas India esok cukup penting buat pasukannya itu.

“Prestasi pasukan hoki Korea sejak kebelakangan ini agak merosot, jadi kemenangan ke atas India pastinya akan membangkitkan semula semangat pemain dan beri berita yang gembira untuk kami.

“Namun, ia bukan perlawanan yang mudah bertemu India. India pasukan yang kuat dan memiliki ramai pemain berkemahiran tinggi dan ada taktikal yang tersendiri.

“Namun, saya ada lihat dan analisis permainan mereka. Saya percaya saya boleh dapat cara untul mengatasi mereka dalam aksi final esok,” kata Seok Kyo.

Pada edisi 2010, Seok Kyo turut berjaya membawa Korea mara hingga ke pentas final dan dijadual bertemu India.

Bagaimanapun tetapi kedua-dua pasukan dinobatkan sebagai juara bersama selepas aksi final tidak dapat diadakan akibat cuaca buruk.

Dalam saingan pusingan awal
kali ini, Korea dan India terikat 1-1.

Terdahulu, Korea mengekalkan rekod tanpa kalah mereka apabila bangkit untuk menewaskan Jepun 4-2 hari ini.

Jepun terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Kazuma Murata minit ke-19 sebelum Jang Jong Hyun menyamakan kedudukan seminit kemudian.

Korea menguasai perlawanan selepas itu apabila kapten, Lee Nam Yong meledak gol kedua minit ke-28 tetapi Murata berjaya menjaringkan gol penyamaan minit ke-42.

Namun, Korea menambah dua lagi gol menerusi Jong Hyun dan Cho Sukhoon minit ke-57 dan 58.

Kekalahan menyaksikan Jepun akan bermain dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam, esok menentang Poland.

“Kami perlu menang perlawanan esok. Kami perlukan keputusan yang baik dan ia adalah dengan menewaskan Poland,” kata jurulatih Jepun, Seigfried Aikman.