Korea juara Piala Sultan Azlan Shah

Korea juara Piala Sultan Azlan Shah


Korea Selatan mempamerkan semangat juang tinggi apabila bangkit daripada ketinggalan dalam aksi final untuk menjuarai Piala Sultan Azlan, hari ini.

Kejayaan itu hadir selepas Korea yang dibimbing Shin Seok Kyo mengatasi pasukan pilihan, India 4-2 menerusi penentuan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 sehingga tamat masa perlawanan di Stadium Hoki Azlan Shah.

Anak buah Seok Kyo membuktikan mereka pasukan yang tidak mengangkat bendera putih biarpun India berjaya mendahului perlawanan seawal minit kesembilan menerusi jaringan, Simranjeet Singh.

Bagaimanapun, Korea terus mampamerkan watak sebagai pejuang bagi mencari gol penyamaan.

Usaha mereka nyata tidak sia-sia apabila serangan demi serangan yang dilancarkan berjaya membolehkan pasukan dihadiahkan pukulan penalti dan disudahkan Jang Jong Hyun minit ke-47 dan keputusan 1-1 kekal hingga tamat permainan.

Pada aksi penentuan penalti, dua pemain India, Sumit dan Sumit Kumar gagal menyudahkan pukulan mereka ketika Korea berjaya menyempurnakan empat pukulan.

Ini adalah kali ketiga Korea bergelar juara selepas turut melakukannya pada 1996 dan 2010 (berkongsi kejuaaraan dengan India).

“Saya bangga dengan semangat juang dipamerkan pemain dalam perlawanan ini, mereka tidak berputus asa untuk memburu gol. Mereka berhak dengan kejuaraan ini.

“Saya harap ini akan menjadi motivasi buat pemain untuk menghadapi kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020 dan yang paling penting peningkatan untuk pasukan hoki Korea,” kata Seok Kyo.

Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah berkenan berangkat menyaksikan aksi final itu dan menyampaikan hadiah kepada pemenang diiringi Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Bagi India, misi mereka untuk merekodkan gelaran keenam
Piala Sultan Azlan Shah gagal.

Sebelum ini, pasukan ranking nombor lima dunia itu sudah lima kali muncul juara bermula pada edisi 1985, 1991, 1995, 2009 dan 2010 (juara bersama dengan Korea).