Malaysia akhiri saingan di tempat ketiga

Malaysia akhiri saingan di tempat ketiga


Malaysia menebus kekecewaan gagal ke final Piala Sultan Azlan Shah dengan menamatkan saingan di tempat ketiga.

Kejayaan itu hadir selepas skuad bimbingan Roelant Oltmans menewaskan Kanada 4-2 dalam aksi penentuan tempat ketiga dan keempat di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Dua pemain muda negara, Nik Aiman Rozemi dan Azrai Abu Kamal
mencuri tumpuan apabila menunjukkan prestasi cemerlang selain masing-masing turut menjaringkan gol.

“Ia sesuatu yang bagus apabila pemain muda bermain dengan baik dalam kejohanan seperti ini. Saya akan terus menilai prestasi mereka sama ada akan disenaraikan untuk saingan Siri Dunia Akhir FIH April ini (di Kuala Lumpur).

“Kami bermain dengan baik dalam perlawanan ini. Pemain berjaya mengikut arahan dengan baik dan saya gembira dengan prestasi mereka,” kata Oltmans selepas tamat perlawanan.

Kemenangan menyaksikan Malaysia menyamai pencapaian edisi 1996.

Ketika itu Malaysia mengatasi Britain 4-3 menerusi penentuan penalti susulan terikat 2-2 sehingga tamat perlawanan.

Dalam aksi hari ini, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Kanada menerusi Mark Pearson pada minit ke-14.

Namun, Malaysia Tigers hanya memerlukan sembilan minit untuk mempamerkan belang sebenar mereka apabila berjaya menyamakan kedudukan menerusi Nik Aiman minit ke-23.

Kebangkitan anak buah Oltmans nyata tidak dapat dibendung oleh Kanada selepas itu apabila meledak tiga lagi gol menerusi Azrai minit ke-29, Tengku Ahmad Tajuddin (30) dan Faizal Saari (45).

Kanada bagaimanapun berjaya mendapat satu lagi gol menerusi James Wallace minit ke-59.

“Kami turun dalam perlawanan ini untuk menang dan kami bermula dengan baik apabila menjaringkan gol pembukaan. Namun, pemain Malaysia memberi reaksi yang sangat agresif untuk mereka kembali bangkit,” kata jurulatih Kanada, Paul Bundy.