Malaysia enggan terlalu yakin

Malaysia enggan terlalu yakin

Malaysia tidak akan memandang mudah kemampuan Kanada apabila sekali lagi bertemu pasukan itu bagi aksi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah, esok.

Jurulatih Malaysia Tigers, Roelant Oltmans, berkata tiada jaminan buat anak buahnya untuk memenangi perlawanan itu mengatasi Kanada 3-2 dalam aksi terakhir pusingan awal, hari ini.

Dia menjangkakan cabaran lebih sukar akan diberikan Kanada untuk merebut tempat ketiga.

“Esok akan menjadi perlawanan yang berbeza, kita tidak boleh terus cakap kita akan menang esok disebabkan kemenangan hari ini. Sudah pasti kami akan cuba untuk menang sekali lagi.

“Namun, untuk melakukannya kami perlu melakukan persiapan semula. Kami perlu melakukan analisis permainan kami hari ini dan perbaiki kelemahan,” kata Oltmans yang berpuas hati dengan prestasi pemainnya dalam perlawanan hari ini.

Katanya, pemain menunjukkan peningkatan prestasi berbanding ketika tewas 1-2 di tangan Korea Selatan, kelmarin.

“Kami menang dan pemain menunjukkan peningkatan prestasi 10 kali ganda lebih baik berbanding aksi bertemu Korea,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Kanada melaungkan keyakinan anak buahnya akan bangkit sekali gus menebus kegagalan dalam perlawanan hari ini apabila bertemu Malaysia esok.

“Kami akan tampil dengan pendekatan yang berbeza esok. Sudah pasti kami mahu menang perlawanan esok.

“Hari ini pemain bermain dengan baik dan berjaya memberi tentangan sengit kepada Malaysia, cuma nasib kami tidak baik. Saya harap pemain akan bangkit esok,” katanya.

Dalam aksi hari ini, tiga gol Malaysia Tigers hari ini dijaringkan Firhan Ashari minit keenam, Razie Rahim (17) dan Fitri Saari (23).

Kanada meraih dua gol hasil sumbangan Gordon Johnston pada minit ke-22 dan 23.