Malaysia kempunan ke final

Malaysia kempunan ke final

Impian Malaysia untuk merangkul gelaran pertama saingan Piala Sultan Azlan Shah musnah selepas tewas di tangan Korea Selatan 1-2 dalam aksi keempat di Stadium Hoki Azlan Shah, hari ini.

Kekalahan Malaysia Tigers menyaksikan India dan Korea mengesahkan slot beraksi di pentas final, Sabtu ini.

Kedua-dua pasukan itu kini mengumpul 10 mata selepas empat perlawanan dan kedudukan itu sudah terjamin tidak kira apa jua keputusan dalam aksi terakhir pusingan awal pada Jumaat ini.

India akan melengkapkan saingan pusingan awal menentang Poland manakala Korea bertemu Jepun.

Malaysia pula perlu mengalihkan fokus bagi bersaing merebut slot beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat yang turut diintai Kanada dan Jepun.

Skuad bimbingan Roelant Oltmans ketika ini menghuni tangga ketiga berkongsi enam mata dengan Kanada di tempat keempat diikuti Jepun yang mengutip tiga mata.

Justeru, anak buah Oltmans tidak mempunyai pilihan selain menang ke atas Kanada dalam aksi terakhir Jumaat ini untuk membolehkan mereka beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat.

Dalam aksi yang penuh mendebarkan hari ini, Malaysia seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila banyak peluang yang dicipta gagal disempurnakan termasuk 11 pukulan sudut penalti yang diraih.

Hanya satu berjaya diterjemahkan kepada gol menerusi jaringan Razie Rahim minit ke-46.

Bagaimanapun, Oltmans mempertahankan barisan pemainnya apabila menyifatkan mereka menunjukkan persembahan bertaraf dunia di sebalik kekalahan itu.

“Walaupun kami kalah, tetapi pemain menunjukkan prestasi yang menakjubkan, saya bangga dengan pemain. Mereka menunjukkan persembahan yang bertaraf dunia,” kata Oltmans.

“Kami mencipta banyak peluang tetapi gagal menyudahkannya dan itu adalah sebahagian daripada permainan. Ada tiga gol kami dibatalkan pengadil, dan jika tidak pastinya keputusan berbeza.”

Dua gol Korea hadir menerusi kapten, Lee Nam Yong minit ke-31 dan Jang Jong Hyun (35).

Jurulatih Korea, Shin Seok Kyo nyata gembira dengan kejayaan anak buahnya mara ke final selepas kali terakhir melakukannya pada 2010.

Ketika itu Korea berkongsi kejuaraan dengan India selepas aksi final tidak dapat diadakan susulan hujan lebat.

“Faktor utama kami menang hari ini adalah kami melakukan penilaian yang menyeluruh terhadap permainan Malaysia. Kita tahu Malaysia memiliki ramai pemain yang mempunyai kemahiran tinggi, jadi kami buat persiapan terbaik.