Misi India, Korea belum selesai

Misi India, Korea belum selesai

Walaupun sudah mengesahkan slot ke final namun India dan Korea Selatan masih ada misi yang belum selesai menjelang aksi terakhir pusingan awal Piala Sultan Azlan Shah, esok.

Kedua-dua pasukan itu berkongsi misi sama apabila turun untuk mengekalkan rekod tanpa kalah mereka dalam saingan yang menggunakan format liga sepusingan itu.

Juara lima kali, India dijangka tidak berdepan masalah untuk membenam cabaran Poland esok manakala Korea akan melengkapkan jadual menentang pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Jepun.

Terdahulu, India dan Korea mengesahkan slot ke final selepas berkongsi 10 mata di dua tangga teratas carta liga hasil daripada tiga kemenangan dan satu seri.

Dengan aksi final yang akan berlangsung Sabtu ini menjanjikan skrip yang berbeza, tumpuan India dan Korea ketika ini adalah bagi memburu gelaran juara liga terlebih dahulu.

Ketika ini kedua-dua pasukan dipisahkan dengan perbezaan gol dengan India di tangga teratas diikuti Korea kedua.

“Saingan pusingan awal belum berakhir kerana masih ada satu lagi perlawanan. Itu akan menjadi fokus utama kami ketika ini.

“Matlamat utama kami dalam kejohanan ini adalah fokus satu demi satu perlawanan dan cuba untuk memenanginya. Aksi final akan menjadi cerita yang berbeza,” kata pengurus India, Chris Ciriello.

Bagaimanapun, tumpuan dalam aksi terakhir pusingan awal esok pastinya lebih terarah kepada persaingan bagi merebut slot beraksi dalam penentuan tempat ketiga dan keempat membabitkan Malaysia, Kanada dan Jepun.

Ketiga-tiga pasukan turun dengan misi wajib menang ke atas lawan masing-masing.

Namun, Malaysia dan Kanada yang berkongsi enam mata di kedudukan ketiga dan keempat liga dilihat berpeluang cerah untuk mencapai matlamat berkenaan dengan kedua-dua pasukan akan membuat perhitungan untuk aksi terakhir esok.

Seri sudah memadai buat kedua-dua pasukan biarpun Jepun berjaya menewaskan Korea – sesuatu yang dilihat sukar berdasarkan prestasi semasa ditunjukkan juara Sukan Asia 2018 itu.

Jurulatih Malaysia, Roelant Oltmans berharap anak buahnya dapat menunjukkan prestasi seperti mana ketika bertemu Korea, semalam biarpun Malaysia Tigers tewas 1-2 sekali gus memusnahkan impian untuk ke final edisi ke-28 kali ini.

“Apa yang ditunjukkan pemain malam ini (semalam) adalah sesuatu yang menakjubkan. Prestasi mereka bertaraf dunia.

“Jadi, saya harap mereka boleh kekalkan prestasi seperti itu apabila menentang Kanada nanti. Jika boleh, peluang kita adalah cerah untuk beraksi di penentuan tempat ketiga dan keempat,” katanya.